PERJUANGAN KITA DI PONDOK PASIR TUMBOH - :: Halimislam Online :: حليم اسلام اونلاين

Post Top Ad

Responsive Ads Here

Saturday, December 22, 2007

PERJUANGAN KITA DI PONDOK PASIR TUMBOH

Sahabat seperjuangan pondok yang dikasihi sekalian, ingatlah ujian dan dugaan itu adalah tarbiah daripada Allah taala. Ingat kembali apakah hikmah disebalik musibah dan dugaan yang kita alami itu.

Sama ada kita dipermainkan dan dikhianati oleh manusia yang kita kasihi, sayangi, cintai mahupun manusia yang kita kenali, ataupun juga musibah penyakit yang kita alami. Itu semua adalah tarbiah daripada Allah s.w.t. Ertinya Allah nak ajar kita banyak perkara berkaitan dengan kehidupan yang lebih bermakna disisiNYA.

Ingat kembali bahawa sifat “SABAR” itu adalah di antara maqam atau darjat yang paling tinggi disisi Allah taala. Tiada sifat seorang mukmin yang paling tinggi disisi Allah melainkan sifat sabar. Walaupun seseorang itu berketurunan hebat seperti kerabat raja atau keturunan apa sekalipun.

Allah tetap akan memandang hamba-hamba yang sabar itu lebih dari segalanya. Allah akan pandang dengan penuh kasih sayang. Yakni dengan pandangan rahmatNYA. Percayalah dan yakinlah dengan Allah s.w.t.

Sesungguhnya Allah s.w.t tidak akan timpakan sesuatu cubaan dan dugaan itu di luar kemampuan kita. Yakinlah dengan Allah dan ingat kembali niat murni kita datang menuntut ilmu Agama di pondok.

Yakinlah dengan pertolongan Allah. Percayalah bahawa selepas kepayahan, musibah dan dugaan itu adanya kesenangan. Dengan menintiskan air mata ana melafazkan perkataan “SABAR” untuk kalian. Yakinlah sesungguhnya sabar itu adalah sebaik-baik penolong.

Bila kita mula melangkahkan kaki menempuh perjuangan di pondok, maka jadilah seperti rumput yang lemah lembut, tak luruh walaupun dipukul ribut yang kuat, dan jadilah juga seperti karang didasar lautan yang mana sedikitpun tak terusik bila dilanda badai.

Bila datang musibah pada diri kita, cepat-cepat berwudhuk dan terus mengadap Allah dan ingat bahawa setitis derita yang melanda diri kita, maka segunung pahala Allah akan keruniakan. Syaratnya kita perlu sabar. Tambahan lagi dalam perjuangan menuntut ilmu agama yang agung ini.

Jalan perjuangan yang kita tempuh ini adalah jalan yang sangat besar dengan cabaran dan dugaannya. Kita perlu ingat jalan perjuangan ini bukanlah seperti menuntut ilmu di universiti-universiti.

Syaitan laknatullah yang datang menggoda orang yang menuntut ilmu agama itu adalah syaitan yang berpangkat yang tetinggi. Kita perlu sedar bukan jenis iblis yang berpangkat kecil-kecil saja yang turun. Makhluk laknatullah ini akan berusaha keras untuk menggoda atau menghancurkan perjuangan umat yang gigih menuntut ilmu agama seperti kita semua.

Kerana mereka laknattullah tahu bahawa jika salah seorang diantara kita berjaya bangkit menjadi seorang ulamak kelak, maka kerja mereka untuk menghancurkan dan menyesatkan anak adam yang lain dimuka bumi ini adalah sangat sukar.

Jadi sebelum golongan-golongan yang menuntut ilmu agama di pondok ini bangkit menjadi ulamak. Makhluk laknatullah ini akan berusaha keras mencantas dari awal lagi. Ana ulangi Makhluk laknatullah ini akan berusaha keras mencantas dari awal lagi.

Ketahuilah makhluk laknatullah ini tidak akan takut kepada golongan-golongan universiti yang hebat ilmu keduniaannya. Hebat dengan kerjaya, berpangkat besar mempunyai gaji yang lumayan, rumah besar, kereta besar dan segala-galanya besar.

Kerana golongan laknatullah itu tahu bahawa manusia yang cerdik pandai dalam ilmu keduniaan tidak akan kemana-mana melainkan turut leka bersama daripada mengingati Allah setiap masa. Kecualilah ilmu keduniaan dan segala kemewahannya itu dimanfaatkan kepada ilmu agama dan terus menyumbang kepada perjuangan islam.

Apa pun dalam perjuangan yang mulia ini usahlah kita mengaharapkan kesenangan dunia seperti kawan-kawan kita di luar sana. Biarkan mereka dengan kemewahan mereka. Biar kita dipandang jumud/hina oleh sahabat-sahabat kita, sahabat-sahabat yang hebat dengan keduniaan mereka. Yang penting kita terus berada pada jalan Allah. Yakni berada dalam perjuangan yang diangkat oleh Allah, diangkat akan darjat seorang mukmin yang berjuang.

Tinggalkan segala urusan dunia bila menuntut ilmu di pondok, buang keduniaan dalam diri kita bukan bererti kita tidak mahukan dunia langsung, tapi kita tinggal dunia sementara kita berada dalam perjuangan. Selepas berjaya kelak barulah kita kembali mengambil dunia yang ditinggalkan dulu. Dengan syarat dunia itu tidak menghalang kita daripada beribadat kepada Allah taala.

Ingatlah dalam perjuangan ini kita perlu pengorbanan yang sangat tinggi, suburkanlah sifat sabar yang ada dalam jiwa kita. Buangkanlah sifat amarah dengan tenang, usah dendam berpanjangan jika dikhianat orang, dan maafkan segala kesalahan insan walaupun perkara yang dilakukan itu tidak boleh kita lupakan. Sesungguhnya Allah kasih kepada hamba yang pemaaf.

Jangan sesekali kita berputus asa dalam perjuangan ini, kerana yang bersorok gembira adanya syaitan dan sahabat-sahabat kita yang munafik. Bangkitlah dan jangan kita rebah sebelum mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

Kerana rebahnya seorang pejuang dalam perjuangan ini merupakan sesuatu petanda yang baik bagi mereka laknatullah. Ketahuilah bahawa seisi alam ini turut sama mendoakan kesejahteraan manusia-manusia yang baik, yang berada dalam perjuangan ini.

Moga kalam ini dapat meredakan keresahan dalam hati kita semua, keresahan hati dalam makna menempuh segala dugaan dan cabaran dunia yang sering menggangu pelajaran kita. Kita boleh insya Allah..

Ikhlas dari ana, seorang pelajar Pondok yang sangat dhoif dan sangat hina.

Tiadalah tempat yang paling tenang sekali hati ini, selain daripada berada di pondok yang sekecil ini. (Bersama anak ustaz Mafuz yang menupang di Pondok ana dua bulan sementara melanjutkan pelajarannya ke Mesir)

Post Bottom Ad

Responsive Ads Here